MGCN JOHOR




Salam,


Majlis Guru Cemerlang Negeri Johor mengucapkan Selamat Hari Guru Kepada Semua Guru-Guru di Pesada Pendidikan Tanah Air. Hayatilah sajak berikut

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.


Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.


Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu


Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.


USMAN AWANG
1979

PENGENALAN HARI GURU

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

LOGO HARI GURU

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.
Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.


IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.


TEMA HARI GURU MALAYSIA

2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara


LAGU TEMA HARI GURU 2010

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA
Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota
Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya
Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta
Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia

Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi

Al-Fatihah




Salam,

Alfatihah buat Allahyarham Cikgu Zaki bin Rahmat, Penolong Setiausaha Majlis Guru Cemerlang Daerah Kluang yang telah kembali kerahmatulah pada malam 1 Mei 2010, di rumahnya di Kampung Parit Hassan Simpang Renggam. Beliau telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Parit Hassan , Simpang Renggam jam 11.30 pagi. Alhamdulilah ramai rakan taulan yang mengambil kesempatan untuk bersama alahyarham buat kali terakhir.
Alahyarham yang bertugas sebagai guru Cemerlang Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Dato Onn Jaafar, Simpang Renggam merupakan seorang guru yang yang cemerlang dalam P & P, sangat baik hati, suka tersenyum,bergurau, kreatif dan mempunyai sentuhan seni tersembunyi. Majlis Guru Cemerlang Daerah Kluang amat terasa akan kehilangan beliau. Muidah-mudahan Alahyarham di terima di sisi Allah sebagai hamba-hambanya yang soleh. Segala pengorbanan , susah payah dan jasa Alahyarham ketika bersama MGC Kluang tak kan dapat kami lupakan. Amin.

PENAFIAN

PENAFIAN: Pihak MGCM Johor tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini. Suapan RSS dari blog dan laman web lain tidak mencerminkan dasar serta pendirian MGCM JOHOR

Sesuai dipapar menggunakan IE versi 8.0 ke atas dan Mozilla Firefox yang terkini dengan resolusi 1024 x 768 bagi mendapatkan paparan yang terbaik("Best Viewed")

Hakcipta Terpelihara © 2010 MGCM JOHOR

© Copyright 2010, All Rights Reserved

  • Bicara MGCJ

    Lawatan IAB

    Lawatan ke Kedah 2009.

    Followers